Baiklah,
menjalani tempoh berpantang sememangnya perkara yang sangat mencabar
buat ibu terutama sekali bagi yang pertama kali melahirkan anak.
Penjagaan selepas bersalin adalah sangat penting untuk mengembalikan
kesihatan ibu setelah mengandung dan mengalami pelbagai perubahan
fizikal dan juga naik turun tahap kesihatan.
Semasa
bersalin, badan kita kehilangan banyak darah. Saya sendiri kehilangan
sebanyak 1000cc darah. (saya bersalin secara pembedahan). Oleh sebab
itu, ibu tidak boleh sama-sekali mengabaikan soal penjagaan diri selepas
bersalin. Tempoh berpantanglah yang akan memastikan badan ibu sembuh
daripada luka-luka dalaman ketika bersalin.
Jika
kita mengabaikan tempoh berpantang, banyak masalah kesihatan fizikal
dan mental yang akan berlaku. Orang-orang tua tak mengalakkan kita
membuat terlalu banyak pergerakan secara kasar/ berat takutnya nanti
luka bersalin akan tertetas kembali atau mungkin kedudukan rahim akan
jatuh. Mereka juga tak benarkan kita minum terlalu banyak air dan
sebagainya.. ada nasihat yang boleh digunapakai.. ada juga nasihat yang
berupa mitos semata-mata :D
Sebagai persediaan untuk berpantang secara tradisional, anda perlu ketahui dan ikuti 7 tip penjagaan seperti berikut :
- Bertungku
- Berurut
- Berbengkung / berbarut
- Berpilis
- Mandi air rebusan daun / herba
- Minum ubat periuk
- Tidur & rehat yang cukup
TIP 1 Berpantang secara tradisional : BERTUNGKU
Amalan
bertungku sememangnya satu amalan yang sangat baik. Bertungku bukan
sahaja membantu untuk mengecutkan 'batu merian' supaya lemak yang
terkumpul dibahagian perut dapat dipecahkan.
Bertungku
membantu memecahkan darah beku dalam perut. Bertungku juga membantu
mengurangkan stress ibu. Orang yang bersalin secara pembedahan tidak
digalakkan bertungku dibahagian perut, namun begitu bertungkulah di
bahagian lain seperti belakang badan dan kaki.
Mudah sahaja nak bertungku ni. Bahan-bahan yang diperlukan :
- batu
tungku, boleh beli dikedai atau pinjam dari saudara mara. Kalau tiada,
boleh juga guna bata merah atau batu sungai yang besar - jangan terlalu
berat, nanti tak larat nak angkat pula :)
- Daun mengkudu (paling baik) ambillah beberapa helai - banyak lagi bagus.
- Kain pelapik (biar tebal) biasanya nak mudah guna sahaja kain batik atau tuala, nampak tradisional gitu.
Bakar tungku selama 15-20 minit hingga betul-betul panas, angkat dan balutkan dengan daun mengkudu.
Caranya
: bentangkan kain batik, letakkan daun mengkudu hingga penuh, kemudian
barulah letakkan tungku yang dah dibakar tadi. balut hingga tertutup
tungku itu sepenuhnya. Nanti kita dapat hidu aroma daun mengkudu yang
wangi.. menenangkan jiwa.
 |
| kredit urut bersalin |
Pastikan
kain cukup tebal dan kepanasan tersebut sesuai dan dapat diterima anda.
Takut nanti melecur pula. jadi berhati-hati yea. Tuamlah sekeliling
peranakan, pinggul, payu dara dan seluruh badan. Badan akan hangat dan
segar. Selamat bertungku :D
TIP 2 Berpantang secara tradisional : BERURUT
Berurut
amalan yang sering dilakukan oleh sesiapa sahaja kerana faedahnya
sangat baik untuk badan. Bayi pun ada urutan tersendiri.
Berurut
dapat melancarkan perjalanan darah dan melegakan sendi-sendi yang sakit
semasa melahirkan. Yelah, semasa tempoh melahirkan, ibu mengunakan
banyak tenaga, jadi selepas bersalin, badan ibu akan menjadi sangat
lemah.
Urutan
biasanya boleh dilakukan selepas beberapa hari kelahiran. Biasanya mak
bidan akan mengurut selama 3 hari berturut-turut.. kenapa 3 hari, saya
pun kurang pasti.
Semasa
berurut badan kita akan kembali panas dan segar. Sebab itulah ibu perlu
sentiasa memakan baju panas dan menyarung stokin. Badan ibu akan cepat
sejuk dan kelihatan sembap atau bengkak terutama sekali di bahagian
kaki.
* Bagi
ibu yang bersalin secara pembedahan, urutan di sekitar perut hanya
boleh dilakukan selepas 6 bulan melahirkan kerana luka pembedahan belum
sembuh sepenuhnya sehingga tempoh 6 bulan. (ini bukan kenyataan
suka-suka) Pengalaman saya bersalin secara pembedahan dan saya juga
dapatkan khidmat nasihat doktor dan bidan sebelum berurut, Bidan juga
menyarankan tempoh 6 bulan adalah terbaik untuk memastikan luka jahitan
benar-benar sembuh. Namun begitu urutan di tempat selain luka jahitan
boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
TIP 3 Berpantang secara tradisional : BERBENGKUNG / BERBARUT
Pemakaian
bengkung atau berbarut bukanlah sekadar nak merampingkan pinggang.
Tujuan sebenar adalah untuk membantu membentuk kembali otot-otot badan,
perut, pinggul dan untuk mengetatkan peranakan agar tidak jatuh.
Semasa
mengandung, badan kita telah mengembang dan banyak juga lemak-lemak
terkumpul kan.. selepas bersalin semuanya mengeleber, jadi masa
berpantang adalah masa yang paling baik untuk mengecilkan dan
menegangkan semua itu ke bentuk badan asal malah mungkin boleh jadi
lebih baik dari sebelum itu.
Bengkung
ada banyak jenis, boleh pilih bengkung jenis V, strap atau berkancing.
Saya sendiri punya 4 bengkung yang berbeza. Pastikan bengkung sentiasa
ditukar dan dicuci. Sebaiknya, anda belilah 2 helai supaya boleh
ditukar-tukar. Ingat ye, walaupun tengah berpantang, kebersihan dan
penampilan diri tetap perlu dijaga. Boleh rujuk posting saya yang lalu,
untuk lihat jenis bengkung , boleh klik di sini.
 |
| Cara memakai bengkung lilit V. Kredit Mia |
Paling baik adalah berbekung selepas mandi atau setelah berurut. Ulang
lagi selepas mandi pada waktu petang hinggalah pagi esoknya.
Kalau nak bentuk badan yang cantik, berbengkunglah.. pasti anda akan terkejut lihat hasilnya nanti.
TIP 4 Berpantang secara tradisional : BERPILIS
Berpilis?
apa tu yea? ia adalah sapuan herba pada bahagian dahi. Tujuan berpilis
adalah untuk mengurangkan pening dan loya. Badan kehilangan darah semasa
bersalin. Oleh itu pilis ini membantu mengurangkan pening dan kelam mata.
 |
| Tak dapat nak letak muka sendiri, lakaran ini pun boleh yea :D |
Pilis
boleh didapati dengan mudah di dalam set bersalin tradisional. Saya
sendiri menggunakan pilis Mustika Ratu, kerana saya sukakan baunya yang
sungguh berherba.
Pilis
juga boleh dibuat sendiri, hanya ambil kayu manis dan tumbuk hingga
halus. Campurkan dengan sedikit air dan sapu pada dahi. Paling baik
untuk buat sendiri, mintalah suami atau saudara untuk menumbukkan
campuran tersebut. Anda juga boleh sediakan awal-awal sebelum bersalin
lagi.
TIP 5 Berpantang secara tradisional : MANDI AIR REBUSAN
 |
| Saya
gunakan air rebusan daun herba semasa berpantang anak pertama, kerana
saya berpantang di rumah mertua. Semua daun tersebut ditanam di belakang
rumah sahaja. (gambar di atas adalah gambar hiasan) |
Kita
sangat beruntung kerana tinggal di Malaysia. Tanaman herba berkhasiat
sangat banyak dan masih tidak sukar untuk mencarinya. Ianya masih
ditanam di halaman -halaman rumah dan ada juga yang masih dijual di
pasar-pasar.
Kehebatan
pokok-pokok herba memang diakui sangat baik untuk manusia. Buat ibu
yang memerlukan rawatan untuk mengembalikan kesegaran tubuh, air rebusan
daun herba sangat-sangat membantu.
Air
rebusan daun sangat baik untuk mengembalikan kesegaran urat saraf.
dengan aromanya yang sangat sedap dihidu ianya juga membantu menenangkan
badan dan fikiran.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat mandian herba :
- Sintok
- Daun mengkudu
- Serai wangi
- Daun pandan
- Daun sireh
Rebus
dan gunakan air rebusan setiap kali mandi pagi dan petang sepanjang
tempoh berpantang. Ia berkesan memberikan kesegaran dan meninggalkan bau
harum pada badan.
Jika sukar untuk sediakan air rebusan daun herba, boleh juga pek uncang atau serbuk daun herba di kedai-kedai jamu.
+2.jpg) |
| Saya
gunakan campuran herba mustika ratu semasa berpantang anak kedua kerana
saya berpantang di rumah sendiri. Hanya campurkan beberapa sudu serbuk
daun herba dengan air panas dan kemudian campurkan lagi dengan beberapa
cebok air suam ke dalam baldi. Kemudian mandi. Rasa macam di spa. |
TIP 6 Berpantang secara tradisional : MINUM UBAT PERIUK
Ubat
periuk rasanya memang tidak sedap dan pahit.. heheheh.. tapi sekarang
dah tidak susah-susah mencari akar kayu. Semuanya sudah siap dijual di
pasaran. Boleh pilih pelbagai jenama, ada dalam uncang, ada juga yang
dibuat seperti teh. Bancuh dan terus minum.
Kongsi
pengalaman Ummi saya lah yea.. Dahulu masa Ummi bersalinkan adik-adik,
setiap hari Ummi akan merebus daun inai atau daun sireh dan diminum.
Kedua-duan daun ni sangat baik untuk mengawal haid berlebihan dan
keputihan.
Jadi berbalik kepada ubat periuk atau air akar kayu, ianya sangat baik untuk kesihatan dalaman. Antara khasiatnya adalah :
- Antara khasiat ubat periuk atau akar kayu adalah
- Membantu melancarkan perjalanan darah,
- Memenambah tenaga,
- Menyenangkan pembuangan air besar
- Mengeluarkan angin dalam badanmenambah seri muka agar tidak kelihatan terlalu pucat.
Mari kita berkenalan dengan jenis akar dan tumbuhan herba yang baik untuk diamalkan semasa berpantang :
- Akar Mengkunyit - membuang darah kotor di
dalam badan dan menghilangkan jerawat.
- Gajah Beranak - Memanaskan badan dan membantu memecahkan lemak.
- Akar Pulih Dara - merapatkan kembali ruang rahim wanita.
- Teja Lawang - Membuang angin kotor, mengeluarkan peluh dan mewangikan badan, penawar cirit-birit.
- Buah
Manjakani : menegangkan otot-otot dalam faraj, merapatkan bahagian yang
longgar, lemah atau kendur. Juga bantu hilangkan bau yang tidak
diingini.
- Kacip Fatimah mengatasi kembung yang sering dialami
oleh wanita yang bersalin, mempercepatkan sembuh selepas bersalin
disamping meransang merapatkan faraj.
- Halia & Lada Hitam : Memanaskan dan membuang angin dalam badan.
TIP 7 Berpantang secara tradisional : REHAT SECUKUPNYA
Selepas
bersalin, kita akan terpaksa sesuaikan diri dengan keadaan baru dan
karenah bayi. Sekiranya semua tip di atas telah dibuat, tetapi badan
tidak mempunyai rehat yang secukupnya, tidak berkesan juga berpantang
kita.
Untuk
mengelakkan rasa pening dan letih melampau menjaga bayi, (ada bayi yang
pada waktu malam suka meragam) anda perlu utamakan tidur. Apabila bayi
tidur, masa itulah ibu turut sama tidur dan berehat. Jangan pada waktu
bayi tidur, ibu pula sibuk nak buat kerja.
Waktu
berpantang adalah waktu kritikal bagi ibu untuk memulihkan semula
kesihatan badan dan luka-luka dalaman. Untuk minggu pertama bersalin
sebaiknya, anda berehat sahaja. Lupakan sementara kerja-kerja mencuci
dan lain-lain kerja yang boleh ditangguhkan.
Paling
elok kerja-kerja rumah, ditinggalkan sahaja kepada suami atau pembantu.
Berbincanglah dengan pasangan mengenainya. Jangan risau rumah bersepah.
Utamakan kesihatan diri. Tidur dan rehat yang cukup membantu anda
mengurangkan rasa tertekan.
Nasihat saya:
Pada
2 minggu pertama kelahiran, elakkan menjemput rakan taulan / Saudara
mara datang menziarah. Lawatan pada minggu-minggu pertama bukanlah
sesuatu yang baik, sebenarnya ia mengganggu ibu untuk berehat dan
memulihkan kesihatan badan. Ada keadaan dimana bayi mungkin mengalami
kuning, dan ibu perlu berulang alik ke klinik. Tambahan pula, bayi
sebaiknya dielakkan disentuh oleh pelbagai orang, bayi lebih terdedah
dengan kuman dan bakteria.
Buat
rakan taulan / saudara mara, janganlah terlalu ghiarah untuk melawat
kawan / saudara mara anda yang baru bersalin. Berilah mereka masa untuk
berehat dan memulihkan diri. Biasanya selepas tempoh 2 minggu, ibu sudah
lebih sihat, terurus dan keadaannya lebih bertenaga. Pada waktu itu,
pergilah melawat.
Selamat Berpantang..